ayatsampah

episod satu ;

  • bukan semua yang menggembirakan hati itu terbaik untuk diri. kadang - kadang yang bahagia itu tersembunyi derita.
  • dan bukan semua yang memualkan itu buruk untuk diri. kadang - kadang yang buruk itu terselitnya bahagia.

episod dua ;

  • kadang - kadang kegembiraan yang datang kita sangka bahagia. tapi bila dilepaskan, ternyata kita lebih bahagia.
  • mungkin hidup tanpa kegembiraan yang kita sangka bahagia adalah terpaling baik untuk kita. untuk seseuatu keadaan yang tertentu.

nota kaki : catatan ini terhasil dari himpunan cerita dan pengalaman yang sempat aku singgah pada sebuah kehidupan sekeliling..

  • maka, usah bersedih dengan dugaan. kerana, barangkali Allah menarik nikmat yang telah dikurniakan kerana mahu mendapatkan kembali cinta dari hamba - hambaNYA.
  • dan maka usah lupa apabila nikmat yang dipinjamkan atau dipulangkan semula. kerana, semuanya itu milikNYA.

nota kaki : pesan untuk diri, moga lebih bersedia dan teguh untuk setiap kemungkinan yang barangkali terjadi.

dan kamu.
perempuan belahan hati.
pelengkap tulang rerusuk kiri.

kamu adalah Sweet Escapisme bagi aku.
Tuhan hadirkan kamu kepada aku,
sebagai penenteram hati dan pemujuk jiwa,
sebagai surga (Firdaus) di dunia aku.

iya,
surga,
dia,
Firdaus.

tempat tuju aku ketika bahagia.
kusut - penat - celaru - duka- bermanja- takut - dan semua

“ surga ” yang menenteramkan jiwa,
dan mendatang tenang ke dalam hati.

terima kasih, Tuhan!.
terima kasih, kamu!.
terima kasih, surga!.

— 

“ Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. ” - [ QS. 91:8-10 ].

nota kaki : catatan yang barangkali boleh disebut puisi tersebut adalah ayat - ayat yang tercerna sendiri semasa dalam pemanduan tadi. mungkin ianya tidaklah seromantis mana, tapi ianya benar - benar tulus tentang rasa yang makin gelora dalam konstruksi hati. iya, aku yakin dengan takdir Tuhan. dengan apa yang telah dijanjikan oleh Dia. yang perlu, doa dan cuba untuk mengukuhkan dahan - dahan rasa agar menumbuh menjadi satu pohon cinta dibarakahi Tuhan. kerna, untuk manusia, Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia. padanya ada hikmah. selebihnya, terpulang untuk setiap dari kita menghargai nikmatnya.

[ potret wanita agung nombor satu dalam hidup aku dan adik - adik, Ummi. ]


aku cuma perlukan bahu. buat aku tumpang menopang kepala.

aku cuma mahukan bahu dari tubuh wanita agung ini terutamanya saat ini. yang lain-lain waktu, aku sudah biasa lentokkan kepala pada bahu aku sendiri.

aku cuma perlukan dua tiga kali usapan di kepala. untuk terus rasa disayangi. untuk terus rasa dimanjai.

aku cuma perlukan suara halus dia. memanggil namaku dengan lembut dari ruang dapur. utamanya bila sup ketam kegemaran aku sudah siap dari air tangannya.

aku cuma perlukan kata-kata dia. yang tidak pernah menghentikan jantung aku, meski aku sudah separuh hampir lelah.

aku sangat harapkan dia kembali sihat seperti sediakala. harapkan sakitnya cuma seketika, langsung tidak melarat.

agar senyum dan anak mata bersinar miliknya boleh aku tatap. tiap kali aku pulang dari bertugas. tiap kali dia menanti aku suatu sudut di laman rumah.

aku cuma mahukan ini. cuma yang mampu aku buat tika ini. mengirim doa buat Yang Maha Esa. biar perit itu aku saja yang rasa, dan teruskan saja bahagia buat dia.

kerana dia adalah molekul kovalen dan separuh dari nyawa aku. tidak mampu diurai. tidak langsung longgar. betapa aku harapkan ini baik-baik belaka.

beberapa hari lagi, aku harus berangkat ke selatan tanah air. melapor diri atas tuntutan tugas. yang pasti, aku bakal pergi dengan hati yang separuh. separuh lagi aku tinggalkan untuk dia. biar merasa dekat amat, walau nyata jarak bakal memisah.

aku cuma letakkan wanita agung ini dalam jagaan Tuhan. aku titipkan jiwanya pada Yang Kuasa. moga Tuhan terus pelihara dia, rahmati dia, berkati dia dan lindungi dia dari segala yang bukan - bukan.

yang selebihnya, aku serah sepenuhnya pada qada dan qadar. berserta bingkisan doa yang tidak akan sekali pun tertinggal.

kerana aku percaya. doa adalah bahasa cinta dan harapan yang paling cepat sampai ke hati. tanpa perlu didengar dan dibaca. dan doa juga adalah penghubung kasih yang rentan dan kuat.

untuk wanita agung nombor satu dalam hidupku ;

” aku akan terus mengikuti jejak cinta dan kasih tulusmu. seperti dedaunan maple yang mesra dan tidak jenuh ditiup bayu dunia!. “

nota kecil : terima kasih untuk segenap luhur pengorbananmu yang tiada banding tara. moga Ummi akan segera sembuh dan kembali sihat sepenuhnya. kerna semangat serta kekuatan along dan adik - adik ada pada genggaman Ummi. sungguh, kami benar - benar rindukan Ummi…

hati biar kental.

jangan mudah mahu mengalah!.


hati biar kental.

jangan sampai terhantuk baru terngadah!.


hati biar kental.

jangan sampai dianggap mudah!.


hati biar kental.

jangan mudah rasa bersalah!.

- jatuh kali pertama. bangun. jatuh untuk kali kedua. bangun. walau parah. jatuh untuk ketiga kalinya. terduduk. dan terus berdarah.

- dan kerana itu ada dua, hilang percaya. atau akan terus memegang tangan mana-mana yang cuba membaluti luka.

nota kaki : harapan untuk dipercayai adalah satu kebodohan melampau. dan, untuk kesekian kali. aku angguk dan menyedari akan ini.

kalau pun ditakdirkan setiap apa yang aku harapkan tidak semua kesampaian. aku tetap redha. tetap bersyukur. kerana telah diberi peluang untuk mengenali sesuatu yang teramat indah dan baik. Alhamdullilah.
—  redha, itu yang paling baik. setiap apa yang telah kita jalani adalah setiap apa juga yang sudah Tuhan caturkan untuk hambaNya.

“ mengata orang, kemudian melakukan perkara yang sama.

dunia ini bukan kita punya. maka, usah gemar menghukum

tanpa meletakkan diri pada kasut mereka.. ”

nota kecil : hidup dalam kebanyakkan manusia yang gemar dan mudah menghakimi orang lain serba sedikit mengundang rasa sebal, rimas. cuma satu pesan aku buat golongan manusia yang sebegini, “ kalau sudah pasti anda ahli surga, teruskan tabiat tersebut. tapi jika sebaliknya, hentikan. sebelum parah dan memakan diri sendiri!. ”.

pesan ibu mudah..

“tiap manusia itu ada bahagian masing-masing. kata kita untuk harapkan mendung,

dan mengharapkan hujan. tapi buat orang yang hidupnya di sawah, yang menoreh getah,

terik itulah hadiah Allah buat periuk nasi mereka.

bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

jangan mudah menghela lelah mengharap mudah..”

- ini antara pesan - pesan ibu yang masih tetap aku ingat. aku pasak teguh dalam genggam dan kepala, buat bekal di setiap baki langkah hidup yang masih jauh ke depan. aku antara anak yang paling bertuah, memiliki seorang ibu yang tak lokek dengan nasihat dan titipan pesan. terima kasih ibu, untuk setiap segala yang ada. Tuhan, barakahi lah hidup ibu dan kami sekeluarga. amin!.

nota kaki : diberi keizinan Tuhan untuk bangkit awal dan imamkan solat subuh berjemaah bersama ibu. mengutip keberkatan permulaan mentari pagi penghulu segala hari. hari ini, aku “ offduty”. jadi mahu rehat sepuas mungkin, menjana semula dinamo tenaga badan yang sudah di paras paling lemah, harapnya. oh ya, selamat siang jumaat buat sekalian anak alam.

sempurnanya sesebuah ikatan itu bukanlah didasarkan pada kekayaan. bukan pada paras rupawan yang sepadan. bukan memilih pangkat dan darjat yang setandingan.

namun sebaliknya, sesebuah ikatan itu akan benar - benar sempurna bilamana, kedua - duanya sudah saling melengkapkan. saling memerlukan!.

— 

- perasaan untuk menulis perihal tersebut hadir menyapa aku dengan cuma membawa sebab. sebab yang aku pelajari dari pengalaman, pemerhatian, pendengaran, kewarasan fikiran dan prarasa yang dimiliki oleh setiap makhluk bernama manusia.

nota kaki : dan untuk sekarang, sedang berlakunya suatu proses dalam dada ini. barangkali konstruksi hati..

- terpaling jelas. begitu juga dengan cinta aku pada ayah. meski ayah sudah dijemput Tuhan ke daerah sana, rasa cinta aku yang masih punya nyawa tidak pernah sekali pun terbatas. apatah lagi untuk terpisah.

“ seperti matahari jumaat yang sedang merah saga. terik dan berbisa. begitulah rasa cinta itu. liar dan terus berkuasa. dengan izin Yang Esa ”.

nota kaki : baru pulang. Alhamdullilah, pagi jumaat kali ini diberi kesempatan menziarah pusara ayah. membacakan ayat - ayat Tuhan sebagai hadiah untuk arwah di depan nisan dua memang mengundang sebak. lalu rasa itu aku tidak terlalu endahkan. dan aku selalu percaya yang ayah pasti sedang tersenyum sekarang di sisi pemilik nyawa. Al - Fatihah buat ayah.

bukan malaikat, mahupun syaitan!.

aku bukanlah seperti Mikail yang tidak pernah mengukir senyuman sejak neraka itu dicipta Sang Penguasa langit dan bumi.

aku cuma manusia ciptaan Sang Penguasa yang bijak bistari. manusia yang diletakkan pada darjat lebih tinggi dari Mikail.

darjat yang membuatkan aku kadangkala sombong, melebihi kesombongan Azazil.

maka, kerna itu lah.

aku bukan malaikat yang patuh seratus peratus pada Tuhan.aku juga bukan syaitan yang berani mencabar Tuhan.

aku punya dosa, punya pahala. tapi aku mahu berakhir di dalam syurga. tanpa singgah di neraka. itu manusia bukan?.

nota kaki : berteleku di sejadah seorang diri usai sujud maghrib. ya, sungguh kerdil aku ini antara sekalian manusia.

  • kedewasaan itu adalah ketika kita berani untuk mempersoalkan tentang kedewasaan itu sendiri. tidak ada yang benar - benar dewasa di dunia ini. kerana manusia adalah waktu yang sekadar hinggap di permatang usia.

nota kaki : masih menatap langit jingga yang sama. kalau ada beza pun, cuma dari masa dan keberadaan sekarang. senja tetap buat aku menikmati. meski ada ketikanya, senja sedikit beri aku duka.

tentang jumaat, lelaki dan gila!.

siang tadi aku berkesempatan menunaikan solat jumaat di sebuah masjid di tengah bandar utama selatan tanah air. selesai solat, aku terus menuju ke kereta. tempat parking padat, jadi mahu atau tidak. aku terpaksa parkir kereta di luar kawasan masjid.

bila keluar saja dari pagar masjid, aku nampak seorang lelaki separuh bogel ( separuh bukan sepenuh ). masih berpakaian. cuma berseluar, melondeh sampai bawah punggung. kotor. maaf, tapi aku cuma berkata apa yang benar.

lelaki tersebut sedang santai bersandar dekat kereta aku. aku tenung dalam - dalam dari jauh. agak risau, kalau - kalau kereta diapa - apakan. tambahan adik aku ada dalam kereta. nasib baik sebelum keluar untuk solat aku arahkan dia mengunci semua pintu kereta dari dalam. normal lah bila dalam keadaan begini timbul kebimbingan.

tiba - tiba si lelaki tersebut tengking,

“ apa tengok - tengok?. ingat aku gila??. ”

memang suara dia sangat kuat. jujur aku terkejut. tambahan agak takut sebenarnya. dia menjeling tepat ke arah aku, seakan biji matanya nak terkeluar. kemudian, sambil bersiul - siul, dia berlalu pergi.

aku yakin memang lelaki itu gila. tapi kenapa yang gila selalu marah bila dikatakan gila.

tapi aku tak kata. aku cuma lihat dan perhati. pandangan aku tidak melahirkan sesuatu yang mampu didengar. barangkali, itu moral yang terpaling proper dari apa yang jadi.

……………….

nota kaki : kejadian siang tadi mengingatkan aku semasa menjalani housemanship beberapa dulu. pernah bertugas di wad psikitri kurang lebih hampir empat bulan. empat bulan yang penuh momen - momen, empat bulan yang penuh cerita, dan empat bulan yang padat dengan pengalaman. meski pun pesakit - pesakit di wad tersebut sangat berbeza dari pesakit - pesakit punya akal waras yang lain. tetapi ada sesuatu pada mereka. sesuatu yang barangkali boleh dipanggil rahsia. rahsia yang tersangat rahsia. rahsia yang tidak mampu untuk ditebak oleh kita - kita yang waras ini. sehinggakan boleh menjadi misteri, misteri yang klimaknya cuma mereka saja yang rasa. seperkara lagi, ada sebahagian dari mereka lebih mulia hatinya berbanding kita - kita yang sempurna akal. benar, setiap yang Tuhan jadikan itu bersebab. sehina - hina mereka di mata manusia, semulia - mulia mereka di sisi Tuhan. natijahnya, segila mana sekalipun seseorang itu, dia tetap punya tempat yang sama di riba Tuhan. kerna, serupa. masih manusia!.

terbukunya naskah Yassin hanya pada khamis malam jumaat. berkisarnya alunan suci Al-Quran apabila teriak hati menyengat. membuka tafsir hanya bila “hidayah” tiba. sedang hidayah itu perlu dicari, bukan hadir hanya apabila jatuh dan sakit. walau sekurangnya masih ada, dari langsung tidak..

Alhamdullilah. berkesempatan bacakan surahtul Yassin bersama ibu selang usai maghrib menunggu fardhu isyak malam ini. nawaitu untuk titipan hadiah sedekah dari kami untuk arwah ayah. yang pasti, ayah sedang tersenyum terpaling indah di sisi Gusti Allah.

nota kaki : yang paling aku perasan setiap kali ibu bacakan Yassin atau mana-mana ayat Tuhan untuk ayah. ada takungan air pada tubir matanya, dan terkadang suaranya terisi sebak. ya, aku tahu ibu sedang menahan rindu yang sedang merobek hatinya. dan, yang pasti. kerinduan dan momen emosi yang sama juga turut aku rasa.